Tazkirah


Taat Kepada Allah dan Rasul –
Satu penilaian
Oleh Azahidi

Seringkali kita mendengar orang-orang yang mengaku Islam berkata, “simpan janggut itu sunat, dapat pahala”. Malah meniru semua perbuatan nabi Muhammad, apa saja sehingga cara buang air besar pun sunat, dapat pahala. Konsep sunat ialah, buat dapat pahala, tak buat tak apa, kata setengah Mazhab. Setengah Ahli sufi pula mengatakan sunat bagi mazhab Shafei itu wajib bagi mereka, kena buat. Hakikatnya ialah, pahala hak Allah, hak Allah sahaja. Ianya bukan hak manusia untuk menentukan yang mana dapat pahala, yang mana tidak, kecuali apa yang jelas dalam Quran.
Persoalannya, apakah perkara-perkara yang termasuk dalam konsep taat kepada Allah dan taat kepada rasul. Adakah ianya termasuk juga perbuatan seumpama makan dengan menggunakan tiga jari, tidur sambil mengiring, berus gigi pakai kayu sugi dari Saudi dan sebagainya?
Ayat-ayat Allah yang berikut menyuruh kita taat kepada Allah dan rasulnya.
Katakanlah, "Taatlah kepada Allah, dan rasul." Tetapi jika mereka berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang tidak percaya (3:32)
Dan taatlah kepada Allah dan rasul supaya kamu dikasihani. (3:132)
Wahai orang-orang yang percaya, taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada rasul, ……   (4:59)

Wahai orang-orang yang percaya, taatlah kepada Allah dan rasul-Nya, dan janganlah berpaling daripada-Nya, sedang kamu mendengar. (8:20)
Terdapat banyak lagi ayat-ayat yang berkaitan dengan subjek taat kepada Allah dan taat kepada rasul.
Perhatikan di sini, dalam semua ayat-ayat yang berkaitan dengan ‘taat’ , Allah pilih untuk menggunakan perkataan ‘rasul’ tidak ‘Muhammad’.
Allah, pencipta dan pemelihara Quran, memberitahu kita bahawa kesemua dalam cakrawala adalah dalam penguasaanNya, termasuk Quran. Surah-surah, ayat-ayat, perkataan, nombor, susunan, pemilihan sifat-sifat kata, nama-nama, kisah-kisah, panjang pendeknya ayat dan surah..… kesemuanya adalah dibuat dan dipilih oleh Allah, dengan sengaja dan dengan tujuan khusus.
…... Kami tidak mengalpakan sesuatu di dalam al-Kitab; ….. (6:38)
Pembaca, pemerhati dan yang percaya kepada Quran sudah tentu memahami, dengan izin Allah bahawa Allah yang mengajar kita Quran, dan bukannya hadith-hadith susunan manusia.
Yang Pemurah, Mengajar al-Qur'an. (55:1-2)
Maka, dalam percubaan untuk memahami sesuatu subjek dalam Quran, kita perlulah rujuk kepada Quran itu sendiri. Oleh kerana Allah mengatakan Dia yang mengajar Quran, dan dia tidak berkomunikasi terus dengan kita, maka Quran sajalah yang kita boleh buat bahan rujukan untuk memahami Quran.
Kita perhatikan bahawa Allah secara konsisten sebut dalam ayat-ayatNya “taat kepada Allah….” dan diikuti dengan perkataan “rasul” dan tidak “Muhammad”.
Dalam Quran Allah menyebut nama ‘Muhammad’ hanya pada empat ayat (3:144, 33:40, 47:2 dan 48:29), dan tiada satu pun berkaitan secara langsung dengan subjek taat. Lebih dari 25 kali Allah menyuruh kita taat kepada rasul, tidak sekali pun Allah menyebut “taat kepada Muhammad”
Adakah ini secara kebetulan sahaja? Atu adakah ianya suruhan yang disengajakan?
Hanya “orang-orang yang percaya” percaya bahawa semua dalam dunia Allah ini adalah disengajakan dengan keinginan Allah. Tiada suatu pun dengan secara kebetulah saja. Ayat-ayat yang digunakan pun adalah secara sengaja dengan tujuan, tidak secara kebetulan.
Katakanlah, "Sekiranya laut adalah dakwat untuk Kata-Kata Pemeliharaku, tentulah laut itu habis sebelum Kata-Kata Pemeliharaku habis, walaupun Kami mendatangkan pengisian semula yang serupa dengan itu." (18:109)
Sekarang, cuba kita fahami apa Allah mengajari kita berkenaan nabi Muhammad.
Katakanlah, "Aku hanyalah seorang manusia yang serupa dengan kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu…..(18:110)
Allah yang Maha Mengetahui, tahu bahawa nabi Muhammad, sebagai manusia menjalani kehidupan hariannya sebagaimana manusia lain. Dia makan dan minum, tidur, berkeinginan, bernafsu, berkeluarga, buat kesilapan, berperasaan takut, rungsing, sakit, dsbnya. Muhammad adalah rasul hanya kerana mesej yang diberikan melaluinya, yaitu Quran. Begitu juga rasul-rasul lain yang diberikan kitab-kitab. Muhammad tanpa Quran adalah seorang manusia biasa macam kita semua.
Wahai rasul, sampaikanlah apa-apa yang diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu kerana, jika kamu tidak buat, tidaklah kamu menyampaikan Mesej-Nya. Allah melindungi kamu daripada manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang tidak percaya. (5:67)
Allah, bila menggunakan perkataan ‘rasul’ mahukan subjek taat menjadi jelas, yaitu supaya manusia mentaati seseorang yang mempunyai mesejNya, bukan mentaati peribadi atau mentaati Muhammad atas perkara-perkara lain.
Taati rasul adalah bergantung kepada adanya mesej, yaitu Quran. Taati rasul oleh sebab mesej yang dia diberi, yaitu Quran. Taati rasul bermaksud ikuti mesej yang diberi kepadanya, yaitu Quran.
Menyimpan janggut, pakai jubah singkat atas buku lali, jilat jari selepas makan, memakai serban dan sebagainya tidak termasuk dalam konsep taati rasul, kerana semua itu tidak dijelaskan dalam Quran.
Nabi Muhammad tanpa Quran adalah manusia biasa. Walau pun dalam status rasul, dia masih mempunyai perwatakan, perangai dan nafsu manusia biasa. Sebagai contoh, Allah mencerikan dalam Quran yang dia bermasam muka dengan seorang buta (80:1-11) sehingga Allah menegurnya, ada ketika dia takutkan manusia sedangkan dia sepatutnya takut kepada Allah (33:37) dan dia pernah mengharamkan apa yang tidak sepatutnya (66:1).
Itulah sebab tiada tiada satu pun suruhan atau arahan supaya kita mentaati Muhammad. Kalaulah kita ambil konsep “taat kepada rasul” sebagai taati Muhammad sebagai manusia, sudah tentu kita juga mesti bermasam muka kepada yang buta dan miskin. Kita mesti melakukan lain-lain kesalahan yang dilakukan oleh Muhammad sebagai manusia biasa. Sudah tentu tidak begitu. Kita disuruh mentaati rasul sebab mesej yang dibawanya, Quran mewajibkan kita mentaati rasul. Mentaati mesej ialah mentaati rasul.
Satu contoh perbezaan di antara mentaati rasul (oleh sebab dia membawa Quran) dan mentaati manusia ialah dua ayat berikut :
Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa antara kamu yang melakukan kesumbangan yang nyata, baginya azab akan digandakan dengan dua kali ganda; itu, bagi Allah, mudah. (33:30)
Tetapi sesiapa antara kamu yang patuh kepada Allah, dan rasul-Nya, dan membuat kerja-kerja kebaikan, Kami akan memberikan upahnya dua kali; Kami menyediakan untuknya rezeki yang mulia. (33:31)
Perhatikan di sini, arahan kepada isteri-isteri nabi ialah supaya patuh kepada allah dan rasul, bukannya kepada suami atau pun Muhammad. Sekiranya Allah menyuruh mereka patuh kepada suami (perkataan suami digunakan), sudah tentu ianya menjadi satu arahan mutlak supaya isteri-isteri patuh kepada suami, tanpa syarat atau kelonggaran. Kita mesti ingat Allah tidak kekeringan atau kesuntukan perkataan (18:109). Disebaliknya Allah mahukan mereka, isteri-isteri nabi patuh kepada rasul dengan mesej yang ada padanya.
Sebagai manusia, Muhammad telah diberi penghormatan besar apabila dipilih untuk menjadi rasul Allah yang terakhir untuk menyampaikan mesej yang terakhir, yaitu Quran. Budi pekertinya dijelaskan sebagai berikut,
Sesungguhnya kamu adalah di atas budi pekerti yang besar. (68:4)
Pun begitu, kita mesti ingat supaya tidak membezakan Muhammad sebagai rasul dengan rasul-rasul Alah yang lain (2:285).  Yang perlu kita memahami dan membezakan ialah di antara :
mentaatinya dengan tunduk patuh kepada mesej (Quran)
dengan
mentaatinya dengan meniru apa yang dia buat sebagai manusia biasa.
Yang sedihnya, ramai orang yang menganggap Islam itu akan lebih sempurna dengan memberi penekanan silap dan lebih kepada meniru cara hidup harian nabi Muhammad dan ulamak-ulamak pada masa lampau. Pakai jubah, pakai serban, berus gigi pakai kayu sugi, makan sambil berlutut dan bermacam-macam lagi, tapi unta tak nak naik, nak naik Honda Accord. Itu semua adalah hak individu. Tetapi untuk mengatakan pakai jubah dan simpan janggut dapat pahala adalah memandai-mandai lebih dari Allah. Allah ada sebut janggut dalam Quran, tapi pasal Musa memegang janggut Harun, tidak pasal galakan atau pahala menyimpan janggut.
Tidak boleh dinafikan, kita mesti mentaati rasul. Bagi mereka yang menerima Quran, mereka menerima arahan daripada Allah untuk “mentaati rasul” dengan mengikuti mesejnya, Quran. Hanya Quran. Bila nabi Muhammad meninggal dunia, dia meninggalkan kepada kita hanya satu kitab yaitu Quran.
Bila Allah memberitahu nabi Muhammad dalam Quran, Pada hari ini, Aku menyempurnakan agama kamu untuk kamu, dan Aku mencukupkan rahmat-Ku ke atas kamu, dan Aku merelakan Islam sebagai agama untuk kamu. …. (5:3) Muhammad ada hanya ada satu kitab yaitu Quran. Dia memberikan kita satu definasi islam, yaitu yang ada hanya dalam Quran, bukannya campuran-campuran palsu hasil dari ciptaan-ciptaan manusia sebgaimana yang banyak terdapat sekarang ini.
Dalam menyuruh manusia mentaati Allah dan rasul, Allah tahu bahawa manusia akan mengabaikan Quran dan sebaliknya memberi tumpuan lebih kepada tulisan-tulisan ciptaan manusia.
Rasul berkata, "Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang tidak dipedulikan." (25:30)

Penenang Hati


MusicPlaylistView Profile
Create a playlist at MixPod.com