22 April 2011
Doa memohon di permudahkan...
Buat semua yang bakal menduduki peperiksaan...
17 April 2011
Selamat Menempuh Peperiksaan…Kecemerlangan Adalah Ketaatan Kepada Allah
Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, guru yang paling baik dan penunjuk kebenaran kepada jalan ilmu.
Kecemerlangan dalam pelajaran mempunyai kepentingan yang amat besar dalam kehidupan muslimin. Bukankah para ulama Islam telah memberikan cahaya kepada alam ini melalui ilmu-ilmu mereka yang cemerlang seperti Ibnu Sina, al-Khawarizmi, Ibnu al-Nafis dan lain-lain. Oleh itu, setiap orang daripada kita hendaklah bertanya dirinya: Kenapa aku perlu cemerlang? Dia juga hendaklah bertanya, kenapa aku tidak cemerlang?
Bagi menjawab soalan ini, kita mendengar banyak jawapan yang dikemukakan oleh orang. Tetapi seorang muslim mempunyai jawapannya yang tersendiri kerana dia memiliki objektif yang mulia:
§ Saya mahu cemerlang kerana Allah: Ya! Saya mahu cemerlang kerana Allah, kerana Allah swt berfirman dalam surah al-An‘am ayat 162 yang bermaksud: “Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” Maka seseorang muslim mengetahui bahawa seluruh kehidupannya adalah kerana Allah. Antara kehidupannya ialah pelajaran, ilmu dan kecemerlangannya.
§ Saya mahu cemerlang kerana keluarga dan kedua ibu bapa saya: Antara cara saya berbuat baik kepada kedua ibu bapa saya ialah dengan menggembirakan mereka. Alangkah besarnya kegembiraan dan kebahagiaan mereka jika saya cemerlang dan berjaya mendapat markah paling tinggi.
§ Saya mahu cemerlang kerana diri saya sendiri: Setiap muslim mempunyai matlamat dalam kehidupannya. Jika dia mempunyai matlamat dan cita-cita yang tinggi, maka matlamat dan cita-citanya itu tidak akan tercapai melainkan dengan kecemerlangan.
§ Saya mahu cemerlang kerana ingin mengembalikan keagungan Islam: Mengembalikan keagungan Islam? Ya! Kerana ingin mengembalikan keagungan Islam. Keagungan Islam dahulu adalah melalui ilmu dan para ulama. Keagungan ini tidak akan datang kembali melainkan melalui para ulama yang benar, beriman dan ikhlas kerana Islam dan umat Islam, ulama dan ilmuan dalam pelbagai bidang yang bermanfaat.
Beberapa Pesanan Sebelum Anda Mengulangkaji Pelajaran
Wahai saudaraku yang dikasihi! Kami membentangkan kepada anda beberapa sarana yang membolehkan anda mengulangkaji dengan berkesan:
1. Mengerjakan sembahyang hajat dua rakaat sebelum mengulangkaji agar Allah memberikan pertolonganNya kepada anda.
2. Membaca al-Quran sebelum memulakan ulangkaji, kerana ia akan menjauhkan syaitan daripada anda dan wajah anda akan dipenuhi dengan cahaya al-Quran.
3. Mulakan dengan berdoa.
4. Buatlah perancangan terlebih dahulu, seperti anda menentukan apakah subjek-subjek yang akan diulangkaji, tajuk-tajuk dan masa bagi setiap subjek dengan membuat jadual yang lengkap.
5. Mulakan dengan subjek-subjek yang mudah terlebih dahulu, kemudian barulah berpindah kepada subjek-subjek yang sukar.
6. Jangan tangguhlah kerja hari ini kepada esok hari. Anda hendaklah sentiasa mengulangkaji subjek yang anda pelajari pada hari yang sama.
7. Peruntukkan waktu yang mencukupi untuk berehat. Tetapkan satu hari setiap minggu bagi anda berehat dan berhibur.
8. Pilihkan tempat yang tenang dan jauh daripada sebarang gangguan serta ambil beratlah tentang masalah pencahayaan yang mencukupi, begitu juga dengan masalah kesihatan.
9. Cuba sedaya upaya untuk mengosongkan fikiran anda daripada sebarang permasalahan atau kesibukan sebelum mengulangkaji pelajaran.
10. Ambil beratlah tentang cara duduk yang betul iaitu belakang anda hendaklah lurus.
11. Segeralah pergi menunaikan sembahyang sebaik sahaja anda mendengar azan, kerana Allah swt tidak akan memberkati pekerjaan yang melalaikan daripada sembahyang.
12. Selangkan di antara satu subjek dengan subjek lain yang anda ulangkaji dengan satu kadar masa yang mencukupi untuk berehat.
Bagaimana Anda Bersedia Menghadapi Peperiksaan
Dr ‘Ata Barakat berkata:
Agar bersedia untuk menghadapi peperiksaan, anda perlu melakukan dua perkara yang penting:
Pertama: Penguasaan yang baik
Ini berlaku melalui empat perkara berikut:
1. Anda terus mengulangkaji subjek yang anda pelajari sepanjang tahun sebaik sahaja selepas anda mempelajarinya. Janganlah anda tangguhkan sedikitpun meskipun sedikit.
2. Ulangkaji pelajaran terdahulu sebelum memulakan pelajaran baru.
3. Melakukan ulangkaji mingguan dengan membaca semula secara pantas pelajaran-pelajaran yang sudah diulangkaji pada minggu tersebut.
4. Membuat ulangkaji pada masa cuti dan juga secara bulanan.
Kedua: Ulangkaji yang intensif sebelum peperiksaan
Ia juga boleh dilakukan melalui empat langkah berikut:
1. Menyusun segala maklumat di dalam fikiran anda dengan susunan yang baik dan sistematik.
2. Memilih waktu yang sesuai untuk mengulangkaji, iaitu setiap subjek mempunyai waktu yang khusus. Jika anda merasa jemu, anda boleh mula menyelesaikan soalan-soalan matematik.
3. Membuat jadual waktu yang baik dan tersusun agar setiap subjek mempunyai jangkamasa waktu yang sesuai dan tidak mengganggu waktu yang diperuntukkan untuk subjek yang lain.
4. Menjawab banyak soalan dan menyelesaikan banyak permasalahan terutamanya soalan-soalan yang sukar.
Doa untuk Mengulangkaji Pelajaran
Doa memulakan ulangkaji
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ فَهْمَ النَّبِيِّيْنَ وَحِفْظَ الْمُرْسَلِيْنَ وَالْمَلاَئِكَةِ الْمُقَرَّبِيْنَ. اَللَّهُمَّ اجْعَلْ لِسَانِيْ عَامِرًا بِذِكْرِكَ وَقَلْبِيْ مَلِيْئًا بِخَشْيَتِكَ، إِنَّكَ عَلَى مَا تَشَاءُ قَدِيْرٌ.
Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon daripadaMu kefahaman para nabi, ingatan para rasul dan malaikat terhampir. Ya Allah! Jadikanlah lidahku basah dengan zikir kepadaMu, hatiku dipenuhi dengan takut kepadaMu. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala apa yang Engkau kehendaki.”
Doa selepas mengulangkaji
اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَوْدِعُكَ مَا قَرَأْتُ وَمَا فَهِمْتُ وَمَا حَفِظْتُ فَرُدَّهُ إِلَيَّ عِنْدَ حَاجَتِيْ إِلَيْهِ، إِنَّكَ عَلىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ.
Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku menitip apa yang aku baca, faham dan hafal kepadaMu. Maka kembalikanlah ia kepadaku ketika aku memerlukannya. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala sesuatu.”
Doa Pada Hari Peperiksaan
Dicadangkan agar doa-doa berikut diucapkan pada hari peperiksaan, iaitu sebelum dan semasa peperiksaan berlangsung:
1. Ketika memasuki dewan peperiksaan:
وَقُلْ رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا
Maksudnya: “Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku daripada sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”
2. Ketika menerima kertas soalan:
قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي. وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي. وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي. يَفْقَهُوا قَوْلِي.
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagiku tugasku. Dan lepaskanlah simpulan daripada lidahku, supaya mereka faham perkataanku.”
3. Ketika sukar menjawab:
ياَ حَيُّ يَا قَيُّوْمُ، بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ.
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang maha hidup lagi maha berdiri dengan sendirinya. Dengan rahmatMu aku bermohon pertolongan.”
4. Atau:
اَللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحَزَنَ الصَّعْبَ إِنْ شِئْتَ سَهْلاً.
Maksudnya: “Ya Allah! Tidak ada kesenangan melainkan pada perkara yang engkau jadikan kesenangan padanya. Dan engkau menjadikan kedukacitaan dan kesukaran sebagai mudah dan senang jika Engkau kehendaki.”
5. Jika anda terlupa jawapan:
اَللَّهُمَّ يَا جَامِعَ النَّاسِ لِيَوْمٍ لاَ رَيْبَ فِيْهِ اجْمَعْ عَلىَ ضَالَّتِيْ مَعْلُوْمَاتِيْ.
Maksudnya: “Ya Allah! Tuhan yang menghimpunkan manusia pada hari yang tiada keraguan padanya. Himpunkan barangan dan maklumat yang hilang daripadaku.
Selamat Menempuh Peperiksaan, Moga kejayaan menjadi milik kita bersama...
Jazakumullah hukhairan kasiroh
By: adilahmds_20
16 April 2011
Pemimpin...
Hadis Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w katanya: Baginda telah bersabda:
"Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin."
Labels:
renungkan...
13 April 2011
Hati itu ALLAH yang pegang...
''Kadang-kadang kalau nak fahamkan keluarga kita pasal Islam lebih susah dari nak fahamkan kawan-kawan kita.''
''Ana pun pernah macam nak give up bila terangkan kat dorang. Tak boleh tahan dah.''
''Jangan cakap macam tu, bukankah hidayah itu ALLAH yang beri? Hati manusia ALLAH yang pegang, bukan manusia. Kita manusia hanya menjadi penyebab kepada manusia lain untuk diberi hidayah oleh ALLAH.''
Mungkin ada di antara kalangan kita yang berasal dari keluarga yang biasa-biasa. Walhal diri kita sangat aktif dalam dakwah dan kalau boleh nak ajak keluarga kita sekali mengikuti jejak langkah kita. Bagi ana, tak salah kalau kita cuba memberi kefahaman kepada mereka dalam konteks dakwah ini. Cuma janganlah sesekali memandang rendah terhadap mereka atas alasan mereka tak faham pasal Islam semata-mata! Mereka masih lagi keluarga kita dan tanggungjawab kita untuk membawa mereka bersama kita.
Bagi pengalaman ana sendiri, dalam kehidupan yang baru sahaja 'tersedar' dari dunia khayalan, Alhamdulillah ALLAH masih sayangkan ana. Ana mula memahami dan membuka minda ana tentang hikmah-hikmah segala perintah ALLAH kepada hambaNYA. Kepentingan menutup aurat, melabuhkan tudung, menjaga pandangan, menjaga batas-batas pergaulan dengan berlainan jantina dan yang paling utama menjaga hati.
Pernah dulu, ketika ana suarakan keinginan ana nak memakai tudung 'dakwah', orang pertama yang menghalang ana ialah ibu ana sendiri. Yelah, bila ibu kita sendiri yang tak benarkan, mana tak sedih kan? Tapi mungkin ada sebab-sebab yang tertentu. Setiap ibu juga ada ego masing-masing. Tapi ibu ana tetap ibu ana! Dialah yang melahirkan ana, mengandungkan ana 9 bulan, dan menjaga ana sampai ana dah berusia 20 tahun sekarang! Jadi analah yang bertanggungjwab menjelaskan kepada ibu tentang keinginan ana tu. Lama-lama ibu ana terima dan dia pun sedikit demi sedikit dah ikut ana ^_^. Alhamdulillah. semuanya berkat kesabaran..
Pernah juga dulu ana beritahu dia nak pakai niqab. Lagilah ibu ana tak bagi. Yelah bukan apa katanya, cuma janganlah ekstrem sangat. Tapi ana cuba fahamkan dia, tindakan ini bukan ekstrem tetapi ana cuma rasa zaman sekarang ni lah wanita kena ekstrem menjaga diri! kerana jenayah sekarang ni sudah semakin EKSTREM! betul tak apa yang ana cakap ni? Kalau kita tengok zaman sekarang ni, wanita yang pakai tudung pun dirogol dan dicabul. mengapa? kerana meremehkan tuntutan aurat. Yelah, memang antunna semua dah pakai tudung, tetapi adakah tudung antunna tu menepati syarak? Muhasabah balik ye.. (kepada diri ana juga)
Tetapi ayah ana sangat mendokong ana dalam hal ini. Ayah kata, benda baik buat apa nak halang. Ana tetap dengan pendirian ana. Hingga pada suatu hari, naqibah ana ada jelaskan kat ana, hati ibu kena jaga dulu daripada sibuk nak wat amalan sunat kerana taat kepada ibu bapa tu kan wajib. Barulah ana tersedar. Ibu lebih diutamakan dari ayah. betul kan? Dan ibu juga lebih utama dari amalan sunnah kerana mentaati ibu bapa adalah perkara wajib manakala amalan sunnah itu semestinya sunat diikuti. Sedangkan jika kita sedang solat sunat, dan pada waktu yang sama ibu kita memanggil kita, kita kena berhenti solat dan pergi kepada ibu kita. :)
Jadi, kalau dakwah kita tu kadang-kadang terasa sukar lebih-lebih lagi keluarga kita sendiri, bersabarlah. Jangan memandang rendah kepada mereka. Anggap saja itu ujian dari ALLAH untuk menguji betapa kuat dan tegarnya kita dalam jalan ini. Hati mereka milik ALLAH. banyak kali ana sebutkan kat diri ana. HATI MEREKA MILIK ALLAH. AKU HANYA MEMBERI KEFAHAMAN. yang penting kita berusaha memberi kefahaman daripada tak berusaha langsung kan? Apa-apa teruskanlah. Jangan futur ye.. ^_^ insyaALLAH!
p/s: Jangan putus asa! ALLAH ada bersama kamu! :) senyum lah..
11 April 2011
SOLAT HAJAT DAN TAZKIRAH SEMESTER JANUARI 2011
Datang la beramai-ramai bagi mengimarahkan lagi majlis pada ketetapan berikut:
Tempat : Atrium SIDMA College
Masa : 6.00pm-10.00pm
Aktiviti : Solat Maghrib
Bacaan Surah Yassin
Solat Isyak
Solat Hajat
Tazkirah
Moga kita semua mendapat keberkatan dan ilmu yang bermanfaat
Jazakumullah hu khairan...
TENTATIF PROGARAM
6.00-6.30 pm: KETIBAAN JEMPUTAN
6.30-7.00pm : SOLAT MAGHRIB
7.00-7.30pm: BACAAN YAASIN
7.30-7.45pm : SOLAT ISYAK
7.45-8.00 pm: SOLAT HAJAT
8.00-8.30pm : MAKAN MALAM
8.30-9.30 pm: TAZKIRAH/CERAMAH
10.00pm : majlis di jangka selesai
untuk pertanyaan lanjut,sila hubungi
Saidara Malter @ Md Faiz Anggong @ 0198433953
Saudari Mardiana Ahmad @ 0138581039
TENTATIF PROGARAM
6.00-6.30 pm: KETIBAAN JEMPUTAN
6.30-7.00pm : SOLAT MAGHRIB
7.00-7.30pm: BACAAN YAASIN
7.30-7.45pm : SOLAT ISYAK
7.45-8.00 pm: SOLAT HAJAT
8.00-8.30pm : MAKAN MALAM
8.30-9.30 pm: TAZKIRAH/CERAMAH
10.00pm : majlis di jangka selesai
untuk pertanyaan lanjut,sila hubungi
Saidara Malter @ Md Faiz Anggong @ 0198433953
Saudari Mardiana Ahmad @ 0138581039
10 April 2011
Aura dan getaran adalah dikaitkan dengan gelombang elektromagnetik pada frekuensi tertentu yang berlegar di sekitar tubuh manusia. Ia juga dikaitkan perlanggaran atom, elektron dan elemen di sekitar tubuh yang menghasilkan tenaga. Kesan kekuatan gelombang ini boleh dilihat dengan pandangan fizikal ke atas mereka yang mempunyai banyak aura dan getaran positif.
Begitu banyak kajian dilakukan oleh golongan barat dan pengkaji-pengkaji biologi tentang kewujudan aura dan getaran. Seorang saintis Rusia contohnya menghabiskan 50 tahun mengkaji tentang aura dan pembacaannya menggunakan kesan Kirlian. Malah sudah ada pengusaha diserata dunia menggunakan kesan Kirlian untuk membaca aura seseorang bagi mengesan masalah kesihatan mereka.
Tapi adakah aura ini wujud di dalam Islam? Adakah ini semua ajaran karut yang membuat manusia memikirkan seseorang itu boleh mempunyai tenaga baik dan tenaga jahat yang boleh mempengaruhi seseorang? Hakikatnya ia telah ada didalam Islam dan dikenali sebagai NUR.
Apakah itu Nur? Nur berasal daripada perkataan arab yang bermaksud cahaya. Ia bukanlah cahaya fizikal tetapi cahaya mental atau kesan refleksi tenaga yang mana boleh dilihat penzahirannya daripada cara hidup seseorang. Nur bukan sahaja dikaitkan penzahirannya melalui tenaga malah penzahirannya kepada fizikal seseorang.
Di dalam islam, kekuatan Nur seseorang itu akan lebih terserlah daripada iman dan amalan hidup Islamnya yang mana amalan tersebut dipenuhi dengan nilai positif, keikhlasan, keyakinan, kebenaran dan semangat.
Wajah seseorang yang mempunyai Nur itu sentiasa bersih dan menyegarkan mata orang lain yang memandang. Kedapatan hadith sahih yang menggambarkan Rasulullah itu mempunyai wajah yang berseri-seri, berkulit bersih, alisnya yang lentik, tidak kurus atau gemuk serta wajah yang rupawan.
Begitu juga dikatakan ucapannya itu menyejukkan kalbu mereka yang mendengar. Hadirnya Rasulullah dirasai mereka seolah sedang datang ketenangan dan kegembiraan kepada mereka. Ini sebenarnya yang dikatakan Nur dan mungkin dikatakan sebagai getaran aura bagi pengkaji bukan Islam.
Mari kita lihat hasil kajian orang bukan Islam tentang aura dan ajaran Islam yang sedia ada.
Persekitaran
Kajian menjelaskan peranan persekitaran terhadap aura seseorang. Seseorang yang rajin menghirup udara segar, melihat matahari terbit serta menjaga kebersihan alam persekitarannya dikatakan mampu memperbaiki aura dirinya.
Ia lebih dikaitkan dengan satu kaedah dan cara kehidupan yang lebih sihat, sempurna, jauh dari pencemaran serta banyak berhubung dengan alam semulajadi.
Didalam Islam pula sememangnya telah diajar umat tentang pentingnya menjaga kebersihan dan terdapat dalil yang menyokong perkara ini. Selain itu, orang Islam diseru supaya tidak tidak tidur apabila matahari terbit kerana ia mampu menjemput penyakit.
Dalam perihal alam semulajadi pula, kedapatan hadith yang menerangkan tentang perlunya menjaga alam contohnya sabda Rasulullah "Dunia ini hijau dan cantik, dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan." Hadis riwayat Muslim.
Oleh yang demikian haruslah kita ingat bahawa perlunya kita mengambiltahu tentang pemeliharaan dan pemuliharaan alam, kebersihan persekitaran dan tempat tinggal serta peranan waktu pagi dalam kehidupan. Kita tidak sedar agama telah pun mengajar kita menjaga aura dan getaran dengan penghayatan alam.
Nutrisi dan Pemakanan
Kajian mengatakan makanan yang bersih serta segar mampu menaikkan aura seseorang. Selain itu, hanya bahagian-bahagian terpilih yang tertentu pada makanan yang berzat dan tidak mempunyai elemen kekotoran sahaja yang harus dimakan.
Apa kurangnya Islam yang sememangnya mempunyai panduan khas dalam pemakanan yang suci dan halal. Islam lebih teliti dan tersusun dalam menentukan kesucian pemakanan dan sememangnya ada kategori dan bahagian tertentu pada haiwan makanan itu tidak digalakkan untuk dimakan sungguhpun halal contohnya bahagian darah dan dalaman seperti hati, limpa dan organ dalaman.
Malah Islam mengajar lebih lagi daripada itu iaitu mempastikan kesucian makanan itu pada zahir dan batinnya. Batin itu bermaksud menjaga sumber rezeki supaya halal. Haramnya sumber itu menjadikan makanan yang fizikalnya halal menjadi haram. Maka telah terbukti ajaran Islam memberi panduan yang lebih jelas dan mendalam tentang fakta ini.
Senaman
Kajian seterusnya menjelaskan perlunya senaman untuk menjaga kesihatan bagi mereka yang ingin membangkitkan aura. Melalui senaman, tubuh dan organnya akan menjadi lebih aktif dan sihat bagi menghasilkan aura dan getaran yang lebih positif.
Solat adalah senaman yang pasti bagi orang Islam yang mengerjakan solat 5 waktu sehari semalam. Sama ada seorang Islam itu bersenam atau tidak, tanpa disedari mereka telahpun melakukan senaman paling asas 5 kali sehari.
Selain itu kedapatan perkara lain didalam ajaran Islam yang menggalakkan umatnya menggerakkan tubuh badan antara diberikan pahala bagi setiap langkah orang yang ke masjid. Maka mereka yang berjalan ke masjid itu bersenam sambil membuat pahala.
Adakah kita sedar betapa ruginya kita yang sering meninggalkan solat dan jarang ke masjid? Mungkin kita harus sedar Allah itu menyayangi kita dan mahukan hamba-hambanya sihat dan memperoleh kesihatan serta getaran walaupun dalam urusan pengabdian kepadanya.
Tafakur
Tafakur atau didalam bahasa Inggeris 'meditation' ditafsirkan oleh barat sebagai aktiviti mendiamkan diri dalam posisi tertentu, pada tempoh tertentu untuk memperoleh ketenangan. Tujuannya adalah untuk merehatkan otak yang mana otak yang sihat ini dapat memandu tubuh badan menjadi lebih sihat dan produktif. Seterusnya aura dan getaran seseorang itu lebih tulin.
Tafakur bukanlah perkara yang asing didalam Islam. Terlalu banyak panduan yang digariskan didalam Islam yang boleh dikaitkan dengan tafakur dan juga objektif tafakur itu sendiri. Antaranya beriktikaf didalam masjid untuk mengingati Allah melalui amalan zikir serta amalan lain seperti membaca Al-Quran. Solat itu sendiri mempunyai kesamaan objektifnya dengan tafakur.
Seorang yang khusyuk dalam solat akan melupai apa yang berlaku disekelilingnya dan melatih seseorang menjadi lebih fokus. Selepas solat, maka disunatkan kita berzikir dan berdoa. Ia adalah amalan untuk kita lebih menenangkan diri melalui zikir dengan mengingati Allah dan menaikkan keyakinan seseorang bahawa Allah itu sentiasa mendengar melalui aktiviti doa.
Banyak lagi panduan melalui amalan ketuhanan dalam Islam yang mempunyai objektif yang sama seperti tafakur dan ia bukan sahaja memberi ketenangan didalam jiwa, malah membina sifat sabar, yakin, syukur, tabah dan berserah.
Tidur
Kajian mengatakan lagi perlunya seseorang itu mempunyai tidur yang cukup dan bangun secara semulajadi. Ia bagi membolehkan tubuh badan manusia itu memperoleh cukup istirehat agar ia boleh berfungsi dengan baik setiap hari. Tubuh yang kurang tidur dikaitkan dengan kebarangkalian seseorang itu memperoleh penyakit. Tubuh yang tidak sihat umpama mesin yang tidak produktif. Aura dan getaran amat kurang pada tubuh yang kurang rehat.
Didalam surah An Naba' ayat ke 9, Allah berfirman yang bermaksud "Jadikanlah tidur kamu itu satu istirehat". Selain itu didalam surah Al-Qasas dari ayat 71-73, Allah banyak menjelaskan tentang tidur ia juga merupakan ayat yang dijadikan rujukan bg membuat panduan tentang tidur dalam Islam. Sememangnya penjelasan Islam tentang tidur dan istirehat darinya digariskan dalam perbincangan yang tersusun termasuklah adab-adab tidur itu sendiri sama ada seseorang itu mendapatkan tidurnya pada waktu siang atau waktu malam untuk merehatkan tubuh badan.
Hubungan Kemanusiaan
Kajian barat lagi menggariskan bahawa seseorang itu membangkitkan aura dan getaran mereka melalui hubungan kemanusiaan yang positif, hubungan kekeluargaan dan setiakawan, hubungan dengan komuniti yang positif serta hubungan dengan orang-orang yang progresif. Hubungan yang positif menghasilkan gelombang aura dan getaran semulajadi daripada nilai positif itu sendiri.
Perkara ini telah banyak dibincangkan didalam konsep muamalat didalam Islam. Terlalu banyak panduan Islam tentang hubungan kekeluargaan, sahabat, kemasyarakatan serta hubungan dengan para ilmuan yang progresif. Apa yang perlu adalah cuma mencarinya dengan mudah di internet atau ke toko buku dengan mendapatkan penulisan tentang perkara tersebut dalam Islam. Ia telah ada beribu tahun yang dahulu.
Apa Kata Anda?
Adakah kajian orang barat itu perkara sia-sia sedangkan semua itu telahpun diajar di dalam Islam? Hakikatnya ia adalah perkara yang baik untuk dikaji dan dijelaskan dalam susunan. Mungkin selama ini orang Islam tidak sedar bahawa ajaran Islam itu sendiri mempunyai banyak hikmah disebaliknya. Maka dengan penemuan sains dan kajian, menjelaskan lagi bahawa doktrin Islam ini penuh dengan perkara hikmah yang masih lagi boleh digali dan dicari kelebihannya.
Berbalik kepada aura dan getaran. Apakah moral disebalik perbincangan ini? Sekiranya kita melihat kembali isi dan pengisian tentang aura dan getaran itu sendiri mengajar kita untuk menjadi manusia yang mulia. Berbeza daripada amalan yang berada didalam kehidupan kita sekarang yang terlalu banyak mencemarkan cara hidup serta alam.
Kehidupan kini penuh dengan persepsi negatif, kelakuan negatif, konsep negatif, panduan negatif, idea negatif dan pendek kata kehidupan manusia yang semakin canggih kini semakin membuahkan banyak perkara negatif. Maka tidak hairan mengapa manusia berlumba-lumba mencari kehidupan yang ditafsirkan mereka sebagai kejayaan tetapi sangat ramai juga yang memberitahu mereka masih belum menemui kehidupan.
Selain itu aura dan getaran ini adalah satu tips bagi mereka dalam membina kehidupan baik dari segi kerjaya, perniagaan, perhubungan dan sebagainya. Aura dan getaran kini menjadi salah satu topik hangat bagi individu yang membina kerjaya mereka bagi memperoleh kesan dan hasil yang memberansangkan. Amat rugi bagi orang Islam yang tidak mendalami ilmu Islam itu sendiri dan masih tertanya-tanya mengapakah aku seorang Islam tetapi hidup dalam keadaan terumbang-ambing. Silapnya ialah kita sendiri kurang menghayati agama.
Oleh yang demikian, luangkanlah masa untuk agama. Agama Islam bukanlah kisah ketuhanan atau sembahyang. Islam sebenarnya adalah cara hidup. Orang Islam yang rosak itu adalah mereka yang mengaku Islam tetapi tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar. Jadi tidak hairanlah, seorang Islam itu masih terkapai-kapai dalam kekayaan, masih hidup dalam keganasan dan minda yang tertutup, masih mencari penyelesaian lain yang hakikatnya telah ada didalam Islam. Ini semua adalah kerana, mereka tidak mendapatkan ajaran Islam yang sebenar dan mereka tidak menghayati ajaran yang telahpun mereka temui.
Sesekali carilah individu yang mempunyai Nur. Individu seperti ini sangat banyak dikalangan ulama dan ahli ugama yang menghayati Islam. Raut wajah mereka sangat bersih dan menenangkan mata yang memandang. Usah dinilai daripada foto dan gambar tetapi carilah peluang bertemu mereka untuk melihat Nur yang Allah kurniakan kepada hambanya yang taat dan menghargai agama. Anda sendiri akan merasa adanya ketenangan walaupun hanya dengan mendampingi mereka.
Subscribe to:
Posts (Atom)